
KUALA LUMPUR, 8 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengingatkan semua pemandu agar tidak mengambil risiko meredah kawasan banjir demi memastikan keselamatan diri serta harta benda berikutan keadaan cuaca tidak menentu susulan Monsun Timur Laut (MTL).
- Jangan meredah banjir; anda boleh terperangkap atau dihanyutkan arus deras.
- Air boleh merosakkan kenderaan: masuk karburetor, litar pintas elektrik, menyebabkan kos pembaikan tinggi.
- Jika jalan dinaiki air, buat pusingan U atau guna laluan alternatif; berhenti di kawasan tinggi dan pantau amaran cuaca rasmi.
APM dalam satu kenyataan menyatakan, pengguna jalan raya di seluruh negara perlu lebih sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila melalui laluan yang mula dinaiki air.
“Tindakan meredah banjir ketika memandu mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko bahaya seperti terperangkap di tengah-tengah banjir serta berdepan ancaman dihanyutkan arus deras.
“Selain risiko keselamatan diri, tindakan berkenaan turut berpotensi merosakkan kenderaan termasuk air masuk ke dalam karburetor, berlaku litar pintas pada sistem elektrik kenderaan, sekali gus melibat kos pembaikan yang tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, sekiranya pemandu berdepan situasi jalan dinaiki air, APM menasihatkan mereka untuk segera membuat pusingan U dan menggunakan jalan alternatif yang lebih selamat.
“Pengguna juga disaran supaya menghentikan kenderaan dan berhenti di kawasan yang lebih tinggi sementara menunggu keadaan selamat untuk meneruskan perjalanan.
“Orang ramai diminta sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa serta mendapatkan maklumat yang sahih daripada saluran rasmi pihak berkuasa sepanjang musim bencana ini,” tegas kenyataan sama.