
KANGAR, 8 November – Lebih 300 penduduk Kampung Seriab di sini memeriahkan Program Seriab Kampung Kita 2026.
- Program menguatkan institusi keluarga dan memperkukuh perpaduan komuniti di peringkat akar umbi.
- Sokongan padu penduduk mencerminkan semangat kerjasama dan harmoni yang patut dicontohi komuniti lain.
- Aktiviti pelbagai merangkumi semua peringkat umur, menarik minat dan memupuk hubungan antara penduduk.
- Komuniti menerima RM100,000 untuk Projek SejaTi MADANI bagi melaksanakan Sistem Tanaman Hidroponik Lestari.
Penganjuran aktiviti berkonsepkan kekeluargaan yang bukan sekadar sebagai wadah hiburan semata-mata, malah berperanan penting dalam memperkasa institusi keluarga serta memperkukuh perpaduan komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut Pengerusi JPKKP Kampung Seriab, Yusof Ahmad, sokongan padu setiap kali pelaksanaan program membuktikan semangat kerjasama yang tinggi di kalangan penduduk sekali gus sebagai simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat setempat yang wajar dicontohi oleh komuniti lain khususnya kawasan Parlimen Kangar.
“Program yang dilaksanakan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari kanak-kanak hingga golongan warga emas secara santai serta mengikut minat penduduk setempat.
“Pelaksanaan program secara berkala ini serta dipelbagaikan dilihat menarik sokongan penduduk setempat dan secara keseluruhannya berjaya menyatupadukan penduduk serta memupuk semangat kerjasama dan saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Beliau memaklumkannya kepada RTM pada Program Seriab Kampung Kita 2026 dan Perasmian Program SejaTi MADANI Kampung Seriab.
Pelbagai aktiviti berlangsung termasuklah pertandingan memancing, gerai pameran dan jualan produk, cabutan bertuah, pertandingan mewarna kanak-kanak serta kenduri kampung.
Sementara itu, sebanyak RM100,000 diterima komuniti Kampung Seriab bagi melaksanakan Projek SejaTi MADANI iaitu Sistem Tanaman Hidroponik Lestari.