
ISTANBUL, 7 November – Hubungan strategik Malaysia dan Türkiye perlu diperkukuh menerusi kerjasama ekonomi, pelaburan serta pemindahan teknologi bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala AS$10 bilion menjelang 2030.
- Perbincangan setengah jam dengan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan sempena TRT World Forum 2026.
- Hubungan perlu melangkaui kerjasama tradisional dengan tumpuan pada kapasiti industri dan peningkatan daya saing ekonomi.
- Bidang berpotensi termasuk pertahanan, pendidikan dan latihan TVET, industri halal serta pengurusan bencana.
- Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) sebagai mekanisme penting mempercepat pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif; mesyuarat sulung di Ankara Januari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu mencerminkan usaha kedua-dua negara meningkatkan nilai perdagangan daripada AS$5.6 bilion yang direkodkan pada 2025.
Perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam pertemuan selama setengah jam antara beliau dengan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan, sempena TRT World Forum 2026, di sini, semalam.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, hubungan dua hala itu juga perlu melangkaui kerjasama tradisional dengan memberi tumpuan kepada inisiatif yang mampu memperkukuh kapasiti industri dan meningkatkan daya saing ekonomi kedua-dua negara.
Antara bidang yang dikenal pasti berpotensi untuk diperluas ialah industri pertahanan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.
Bagi menyelaras keutamaan kerjasama tersebut, Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) menjadi mekanisme penting untuk mempercepat pelaksanaan inisiatif di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Türkiye.
Mesyuarat sulung majlis itu telah diadakan di Ankara pada Januari lalu.
Menyentuh hubungan ASEAN-Türkiye, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Malaysia selaku negara penyelaras komited memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam perdagangan, teknologi dan pembangunan modal insan.
Beliau turut menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan diplomasi konstruktif dan berprinsip, berpaksikan kepentingan nasional dalam memperluas hubungan dengan rakan antarabangsa.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berada di Türkiye bagi lawatan kerja empat hari atas jemputan penganjur TRT World Forum 2026.