
SHAH ALAM, 7 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap premis awam teliti cadangan penyediaan kemudahan penjagaan anak pada kadar bayaran minimum.
- Kemudahan penjagaan anak di tempat kerja masih belum mencukupi untuk menyokong ibu bekerja dan keluarga.
- Kos penjagaan swasta tinggi, dianggarkan RM300 hingga RM400, membebankan keluarga.
- Cadangan menyediakan ruang penjagaan anak di pejabat kerajaan dengan bayaran minimum sedang diteliti.
- Kerajaan meneliti pemformalan perkhidmatan penjaga dan memberi tumpuan kepada keperluan OKU, rawatan dan pendidikan khusus.
Langkah berkenaan antara keperluan yang dibangkitkan dalam usaha memperkukuh sokongan kebajikan kepada golongan wanita dan keluarga, bagi membantu ibu bekerja mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga.
“Sekarang semakin ramai wanita bekerja sebagai penjawat awam, namun kemudahan penjagaan anak di tempat kerja masih belum mencukupi.
“Jika menggunakan khidmat penjaga di luar, kosnya boleh mencecah RM300 hingga RM400, jadi, bolehkah setiap pejabat kerajaan menyediakan ruang penjagaan anak dengan bayaran minimum, jauh lebih rendah berbanding kos di luar?”katanya dalam ucapan merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026.
Tambahnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Kerajaan, kata Datuk Seri Anwar turut meneliti keperluan memperkemas dan memformalkan perkhidmatan penjaga atau ‘Caregiver’ seiring peranan khidmat itu yang semakin penting dalam masyarakat.
Datuk Seri Anwar turut menjelaskan keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk kos rawatan tambahan dan kemudahan pendidikan khusus turut diberi tumpuan dalam perancangan kerajaan.
Tegasnya, setiap keperluan rakyat perlu diteliti bagi memastikan dasar serta peruntukan kerajaan mencakupi setiap dimensi kehidupan masyarakat.