Dua rumah musnah dalam kebakaran, punca letupan tong gas

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 7 November – Dua buah rumah di Kampung Nibong, Panji Alam, di sini, terbakar dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada letupan tong gas memasak, petang Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Api merebak pantas kerana kawasan kediaman padat dan struktur rumah kebanyakannya kayu.
  • Seorang saksi dengar bunyi kuat sebelum api merebak dan menghubungi bomba.
  • Empat motosikal hangus dan sebuah kereta sempat dialihkan dari lokasi.
  • Tiada kematian dilaporkan, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Kejadian kira-kira pukul 2.04 petang itu menyebabkan sebuah rumah musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi Satu, Yusmizan Yusof berkata, api merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang terletak di kawasan kediaman padat serta kebanyakannya dibina daripada struktur kayu.

Seorang saksi berkata, bunyi letupan kuat mengejutkan penduduk sebelum mereka bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sudah merebak.

“Ketika itu saya menghadiri kenduri di rumah besan tuan rumah berkenaan. Kemudian, saya terdengar orang memanggil Damia dan memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya terus bergegas ke lokasi dan menghubungi pihak bomba. Saya dimaklumkan kebakaran dipercayai berpunca daripada tong gas. Sebuah rumah hangus sebelum api merebak ke rumah saudara pemiliknya, menyebabkan kedua-dua rumah terbakar.

“Empat buah motosikal milik Damia turut musnah, manakala sebuah kereta sempat dialihkan,” katanya ketika ditemui RTM di Kampung Nibong, Panji Alam.

Kebakaran itu turut memusnahkan beberapa buah motosikal yang berada di dalam rumah, manakala sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah turut terjejas.

Tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.