Laman web bank digodam, MKN teliti ancaman keselamatan hibrid

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto FB Fahmi Fadzil

DOHA, 7 November – Insiden penggodaman laman sesawang Bank Rakyat baru-baru ini hanya melibatkan perubahan paparan laman web yang dikendalikan pihak ketiga, tanpa menjejaskan operasi sistem perbankan institusi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden dikategorikan sebagai pengambilalihan paparan laman sesawang atau web defacement.
  • Bank Rakyat menyekat akses pelayan terjejas dan mengalihkan pengguna ke laman i-Rakyat milik institusi itu.
  • Perdana Menteri arahkan MKN meneliti ancaman keselamatan hibrid dan mesyuarat Jemaah Menteri fokus memperkukuh keselamatan siber aset negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, insiden itu dikategorikan sebagai pengambilalihan paparan laman sesawang atau web defacement.

“Terbaharu, Bank Rakyat memaklumkan bahawa laman sesawangnya yang dikendalikan oleh pihak ketiga telah digodam.

“Bagaimanapun, insiden itu hanya melibatkan perubahan paparan laman sesawang akibat pengambilalihan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri acara boling Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA 2026) yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali dan Presiden Malaysian Association of Qatar (MAQ) Dr Mohd Faris Khamidi.

Susulan kejadian itu, Bank Rakyat mengambil tindakan menyekat akses kepada pelayan yang terjejas serta mengalihkan pengguna ke laman i-Rakyat, yang dimiliki sepenuhnya oleh institusi perbankan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti ancaman keselamatan hibrid terhadap infrastruktur digital negara, termasuk rangkaian Internet, laman sesawang dan pangkalan data.

Perkara itu turut diberi perhatian dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, khususnya berkaitan usaha memperkukuh keselamatan siber aset kerajaan, institusi perbankan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.