
KUALA LUMPUR, 6 November – Hampir enam juta rakyat Malaysia menggunakan aplikasi navigasi Waze, namun tidak semua menyedari risiko pendedahan data peribadi dan rekod pergerakan harian yang berpotensi mengancam keselamatan negara.
- Pengumpulan lokasi berterusan membentuk profil digital, mendedahkan lokasi strategik dan berpotensi menjejaskan keselamatan negara serta kakitangan sensitif.
- Pindaan terma Waze yang mensabitkan pengguna kepada undang-undang Israel menyulitkan tindakan perundangan kerana tiada hubungan diplomatik Malaysia dengan Israel.
- Perkembangan AI membolehkan gabungan data meningkatkan penyalahgunaan; kerajaan mengesyorkan mengehadkan penggunaan aplikasi terutama oleh kumpulan sensitif.
Pengumpulan data lokasi secara berterusan, termasuk corak perjalanan pengguna, menimbulkan persoalan sejauh mana maklumat berkenaan boleh disalahgunakan, khususnya apabila melibatkan individu yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif kerajaan dan aset strategik negara.
Kebimbangan itu timbul susulan notifikasi yang diterima Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) daripada pihak Waze pada 12 Julai lalu berhubung pindaan terma penggunaannya, termasuk peruntukan yang menetapkan pengguna tertakluk kepada undang-undang Israel.

Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, kedudukan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyukarkan sebarang tindakan perundangan atau diplomatik sekiranya berlaku penyalahgunaan maklumat rakyat negara ini.
“Keputusan perlu dibuat dari aspek keselamatan bahawa kita tidak boleh membiarkan negara yang kita tidak mempunyai hubungan diplomatik mempunyai akses kepada maklumat-maklumat sensitif rakyat Malaysia, terutamanya penjawat awam dan kumpulan sensitif,” katanya.
Hakikatnya, setiap perjalanan yang direkodkan menerusi aplikasi navigasi berkenaan berpotensi membentuk profil digital pengguna, termasuk lokasi yang kerap dikunjungi, rutin harian serta corak pergerakan mereka.
Lebih membimbangkan, risiko pengumpulan data tidak semestinya terhenti apabila aplikasi tidak digunakan, selagi ia masih dipasang pada peranti dan tertakluk kepada kebenaran akses yang diberikan pengguna.
Menurut Ir. Dr. Megat Zuhairy, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan risiko penyalahgunaan data apabila maklumat lokasi boleh digabungkan dengan pelbagai sumber data lain untuk menghasilkan gambaran lebih terperinci mengenai seseorang individu.
“Dengan perkembangan AI yang tepat, maklumat ini boleh disalahgunakan untuk niat jahat, jenayah ataupun kepentingan geopolitik negara-negara tertentu.
“Maklumat tersebut juga boleh dipadankan dengan maklumat lain yang kita dedahkan sendiri di luar,” katanya.
Ancaman berkenaan bukan lagi sekadar berkisar soal privasi atau kebocoran maklumat peribadi.
Sebaliknya, data pergerakan individu tertentu berpotensi mendedahkan lokasi strategik kerajaan, aset penting negara serta corak pergerakan pihak yang mempunyai tanggungjawab atau akses kepada maklumat terperingkat.
Menurut beliau lagi, penilaian risiko keselamatan turut mengambil kira pergerakan individu yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam urusan sensitif, tetapi kehadiran mereka di lokasi tertentu boleh memberikan petunjuk kepada pihak berkepentingan.
Justeru, langkah mengehadkan penggunaan aplikasi berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko pendedahan maklumat, khususnya dalam kalangan kumpulan pengguna yang dikategorikan sensitif.
Dalam pada itu, langkah kerajaan berhubung penggunaan aplikasi Waze turut mendapat maklum balas berbeza daripada orang awam.
Seorang pengguna, Kavitha Kanthasamy berkata, beliau sebelum ini menggunakan Waze, namun telah beralih kepada aplikasi navigasi alternatif selepas mengambil kira aspek keselamatan.
“Keselamatan perlu diberikan keutamaan meskipun pengguna mungkin perlu menyesuaikan diri dengan aplikasi lain,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Abdul Aziz pula menyokong langkah berkenaan dan berpandangan orang ramai perlu memberikan kerjasama bagi memastikan maklumat lokasi serta pergerakan harian mereka terus dilindungi.
“Kita perlu ikut (nasihat kerajaan) supaya keselamatan kita khususnya dari segi lokasi dan sebagainya dapat dijaga. Jadi saya setuju rakyat Malaysia hapus aplikasi Waze di telefon bimbit masing-masing,” katanya.