
SHAH ALAM, 6 November – Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia 11 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang memancing di Jalan Ikhlas, Desa Subang Perantau 2, Subang Perdana, di sini, petang tadi.
- Mangsa ditemukan pada pukul 5.20 petang di tebing sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri; disahkan meninggal oleh KKM.
- JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.28 petang.
- Operasi bersama BBP Bukit Jelutong, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam menjalankan pencarian.
- Operasi melibatkan 11 anggota bomba, sebuah Fire Rescue Tender dan dua kenderaan utiliti; mayat diserahkan kepada PDRM.
Mangsa ditemukan pada pukul 5.20 petang di tebing sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.28 petang.
“Komander Operasi melaporkan, berdasarkan maklumat rakan-rakan mangsa di lokasi, kanak-kanak berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti memancing.
“Operasi pencarian dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dengan bantuan BBP Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam,” menurut kenyataan bomba.
Operasi menyelamat melibatkan 11 anggota bomba dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua kenderaan utiliti.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.