Kes rasuah solar: Permohonan bukti tambahan Rosmah ditangguh ke 14 Januari

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 November – Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya berhubung permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong rayuannya terhadap sabitan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
  • Peguam Rosmah memaklumkan alasan penghakiman Mahkamah Rayuan belum dikeluarkan.
  • Mahkamah Rayuan menetapkan 25 November untuk pengurusan dan 3 Disember untuk sebutan.
  • Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan keterangan tambahan termasuk laporan polis dan akuan berkanun saksi Rayyan.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh berkenaan selepas dimaklumkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datin Seri Rosmah mengemukakan keterangan baharu masih belum diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Peguam Datin Seri Rosmah, Akberdin Abdul Kader memaklumkan alasan penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu masih belum dikeluarkan.

Beliau turut memaklumkan Mahkamah Rayuan menetapkan 25 November ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perkembangan terkini, manakala 3 Disember ditetapkan sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam mengesahkan pihak pendakwaan juga masih menunggu alasan penghakiman berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes rasuah projek solar hibrid berkenaan.

Keterangan tambahan itu merangkumi laporan polis dan akuan berkanun oleh saksi, Rayyan Radzwill Abdullah, yang mendakwa dirinya menerima tekanan daripada pihak pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.