
KUALA TERENGGANU, 6 November – Semua agensi kerajaan diseru melaksanakan audit keselamatan siber bagi memastikan sistem dan infrastruktur digital masing-masing pada tahap keselamatan yang memuaskan.
- Audit keselamatan siber perlu mengenal pasti kelemahan sistem termasuk perlindungan storan awan.
- Peruntukan keselamatan siber mesti diberi keutamaan sejajar peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
- Insiden penggodaman Majlis Perbandaran Kluang dijadikan pengajaran untuk meningkatkan peruntukan dan kesiapsiagaan.
- Audit perlu diperluas kepada semua sektor yang memanfaatkan program AI dan perkhidmatan storan awan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti sebarang kelemahan sistem termasuk aspek penggunaan perisian perlindungan storan awan.
Menurutnya, peruntukan keselamatan siber perlu diberi keutamaan ketika ini seiring peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kita ambil pengajaran insiden melibatkan Majlis Perbandaran Kluang apabila sistemnya digodam. Sebelum ini, mungkin ramai masih belum melihat keperluan peruntukan perbelanjaan keselamatan siber. Namun saya berharap insiden ini menjadi peringatan kepada semua pihak.
“Apabila kita melanggan pelbagai program kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan storan awan dan sebagainya, kita juga perlu memastikan sebahagian daripada peruntukan bajet disalurkan kepada aspek keselamatan siber,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan melaksanakan audit keselamatan siber bukan sahaja terhad kepada agensi, jabatan dan kementerian kerajaan, malah perlu diperluaskan kepada semua sektor yang memanfaatkan teknologi AI.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada seorang pengamal media yang menghidap penyakit gout dan buah pinggang kronik, di sini hari ini.
Menyentuh mengenai Tabung Kasih@HAWANA, Teo Nie Ching memaklumkan setakat ini, seramai 901 pengamal media menerima manfaat daripada tabung berkenaan membabitkan jumlah sumbangan RM2.26 juta.
Di Terengganu, seramai 38 pengamal media turut menerima sumbangan melibatkan peruntukan berjumlah RM114,000.