
KUCHING, 6 November – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang melibatkan hampir 2.06 juta pemilih.
- Tarikh penamaan calon 28 November, pengundian awal 8 Disember dan tempoh berkempen selama 14 hari.
- SPR melantik 82 Pegawai Pengurus, 305 Penolong, menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen dan melibatkan 40,505 petugas.
- OCR-VA dijangka diperluas ke semua saluran di 82 bahagian pilihan raya negeri dan peruntukan dianggarkan RM174.94 juta.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, 28 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
“Jumlah pemilih terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR bagi membincangkan urusan PRN Sarawak ke-13 di sini, hari ini.
Bagi mengendalikan pilihan raya itu katanya, SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan bantuan 305 Penolong Pegawai Pengurus serta menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
“Sebanyak 97 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan dengan penglibatan 40,505 petugas.
Selain itu, sebanyak 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 tempat mengundi atau saluran disediakan, termasuk 82 pusat mengundi awal dan 1,945 pusat mengundi biasa,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi urusan undi pos, permohonan semua kategori dalam dan luar negara telah dibuka sejak 26 Oktober lalu.
Tarikh tutup permohonan bagi Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media ialah pada 25 November, manakala Kategori 1B dan 1C pada 20 November.
Kategori 1B membabitkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala Kategori 1C melibatkan agensi atau organisasi.
Dalam perkembangan lain, SPR akan memperluaskan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) ke semua saluran di 82 bahagian pilihan raya negeri.
Sistem itu membolehkan kehadiran pengundi direkodkan secara automatik menerusi pengimbasan dokumen pengenalan diri, sekali gus mempercepatkan proses semakan tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.
SPR turut menganggarkan peruntukan sebanyak RM174.94 juta bagi pelaksanaan PRN Sarawak ke-13.