
JOHOR BAHRU, 6 November – Peniaga di Johor diseru mematuhi empat kewajipan utama sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang berkuat kuasa hingga 10 November ini.
- Tidak menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
- Meletakkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan.
- Memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang musim perayaan.
- Menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Parnomo berkata, pengguna turut dinasihatkan menyemak harga sebelum membeli serta menyimpan resit sebagai rujukan.
“Peniaga perlu mematuhi empat kewajipan utama sepanjang pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan ini, iaitu tidak menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, meletakkan tanda harga merah jambu, memastikan bekalan mencukupi dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran SHMMP Deepavali 2026 peringkat negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata, skim yang berlangsung dari 4 hingga 10 November itu melibatkan 11 jenis barangan keperluan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga berpatutan sepanjang musim perayaan.
Antara barangan yang dikawal ialah bawang merah besar, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang.