
BANDARAYA MELAKA, 5 November – Kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi minyak di seluruh negara.
- Harga minyak Malaysia antara yang termurah di dunia berbanding negara pengeluar minyak lain.
- Perdana Menteri menyatakan rakyat bayar harga rendah sementara kerajaan menanggung subsidi besar.
- Brunei sedikit lebih rendah, manakala negara lain seperti Arab Saudi dan Qatar mencatat harga lebih tinggi.
- Usaha mengekalkan harga rendah didorong rasa tanggungjawab terhadap kepercayaan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga minyak di Malaysia pada masa ini merupakan antara yang termurah di dunia jika dibandingkan dengan negara pengeluar minyak lain.
“Awak bayar RM1.99 seliter, setahun saya kena cari RM40 bilion untuk menampung belanja minyak ini.
“Sebab itu harga minyak di Malaysia antara paling rendah di dunia. Brunei sahaja sedikit lebih rendah, tetapi negara lain, termasuk negara Arab Saudi dan Qatar, semuanya lebih tinggi daripada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Sekolah Tinggi Pay Fong, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, usaha mengekalkan harga minyak pada kadar rendah itu didorong rasa tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan rakyat kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.