27 peniaga Medan Samudera terima sumbangan sewa premis

Foto RTM

MELAKA, 5 November – Seramai 27 peniaga di Medan Samudera, Bandar Hilir menerima manfaat sumbangan bayaran sewa premis selama dua bulan, membabitkan nilai keseluruhan RM16,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan hasil kutipan sewa premis daripada penganjuran UPTOWN Samudera disalurkan semula kepada peniaga di Medan Samudera.
  • MBMB memberi ruang kepada persatuan untuk mengutip hasil sewa tapak di kawasan bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan.
  • Inisiatif ini membuktikan hasil daripada aktiviti perniagaan boleh dimanfaatkan semula untuk kebajikan komuniti peniaga setempat.
  • Persatuan dan ahli jawatankuasa bekerjasama mengumpul dana, menjayakan sumbangan kali pertama selepas tiga tahun usaha kutipan sewa.

Sumbangan itu merupakan hasil kutipan sewa tapak yang diusahakan Persatuan Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Melaka Cawangan Bandar menerusi penganjuran UPTOWN Samudera pada setiap hujung minggu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya sentiasa memberi ruang kepada persatuan berkenaan untuk melaksanakan kutipan sewa tapak di kawasan bawah pentadbiran MBMB sebelum hasilnya disalurkan semula bagi membantu kebajikan peniaga.

Katanya, inisiatif itu membuktikan hasil daripada aktiviti perniagaan boleh dimanfaatkan semula untuk membantu komuniti peniaga setempat.

“Ini antara inisiatif yang saya rasa cukup baik oleh persatuan untuk kebajikan peniaga-peniaga yang berada di sekitar Samudera.

“Memang MBMB yang membuka ruang untuk mereka membuat kutipan hasil daripada perniagaan UPTOWN tersebut dan akhirnya mencurahkan semula hasil itu untuk kebajikan peniaga sedia ada di sini,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bayaran sewa premis kepada peniaga terbabit di Medan Samudera, Bandar Hilir.

Sementara itu, wakil persatuan, Mohamad Rujahan Sidek berkata, sumbangan berkenaan merupakan kali pertama dilaksanakan selepas tiga tahun persatuan mengusahakan kutipan sewa tapak menerusi penganjuran UPTOWN Samudera.

Katanya, usaha itu digerakkan menerusi kerjasama ahli jawatankuasa persatuan bagi mengumpul dana untuk disalurkan semula kepada peniaga Medan Samudera.

“Pada tahun ketiga ini, kita dapat memberi sumbangan kepada peniaga Medan Samudera hasil usaha persatuan dan ahli jawatankuasa yang berusaha mendapatkan dana untuk memberi impak melalui sumbangan semula kepada peniaga.

“Kita berjaya mengumpulkan dana ini untuk disalurkan kepada mereka,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.