
BUKIT RAMBAI, 5 November – Penolakan terhadap politik berasaskan perkauman dan penindasan agama dalam perkembangan politik di Amerika Syarikat (AS) wajar dijadikan pengajaran.
- Pemilihan Abdul El-Sayed sebagai anggota senat Muslim pertama AS menunjukkan keterbukaan terhadap kepelbagaian kaum dan agama.
- Politik tidak sepatutnya berasaskan sentimen perkauman, menolak fahaman itu memberikan ruang demokrasi kepada semua.
- Malaysia tidak perlu meniru model politik AS kerana mempunyai identiti dan acuan tersendiri sebagai negara majmuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Abdul El-Sayed sebagai anggota senat AS pertama beragama Islam merupakan perkembangan penting yang menyaksikan keterbukaan terhadap kepelbagaian kaum dan agama.
Situasi itu memberikan gambaran bahawa politik tidak seharusnya berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya memberi ruang kepada semua golongan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
“Kalau kita lihat di Amerika, kita sudah menang. Siapa yang menang di Amerika? Ada juga dalam kalangan mereka kelompok Islam. Namun, mereka bukan memahami politik berdasarkan parti Islam seperti di sini, sebaliknya mereka memahami demokrasi dan menolak fahaman perkauman.
“Kelompok yang menewaskan kem politik Trump baru-baru ini ialah mereka yang menolak fahaman perkauman. Jika fahaman perkauman bangkit, golongan yang paling rugi ialah umat Islam dan golongan minoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi MADANI Negeri Melaka di Taman Bukit Rambai, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, perkembangan itu perlu dijadikan pedoman bagaimana penolakan terhadap fahaman perkauman boleh membawa perubahan dalam landskap politik sesebuah negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak perlu meniru model politik AS kerana negara ini mempunyai identiti dan acuan tersendiri sebagai sebuah negara majmuk.