
LONDON, 5 November – Prestasi pasaran saham global bergerak tidak menentu pada Khamis apabila para pelabur menilai kekalahan besar parti Presiden Donald Trump dalam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat (AS) berbanding kebimbangan berterusan terhadap pelaburan besar-besaran dalam sektor kecerdasan buatan (AI).
- Indeks DAX di Frankfurt mencatat rekod tertinggi.
- Pasaran Asia terutama saham teknologi turun, dengan Seoul merekodkan kejatuhan melebihi lima peratus.
- Harga minyak mentah mula stabil selepas merosot hampir 10 peratus pada sesi sebelum ini.
- Pound tidak banyak berubah menjelang mesyuarat Bank of England, pembuat dasar dijangka menaikkan kadar faedah pertama dalam lebih tiga tahun.
Indeks DAX di Frankfurt mencatatkan rekod tertinggi baharu, manakala pasaran saham London bergerak menghampiri paras puncak tertinggi sepanjang zaman selepas kemenangan mengejut Parti Demokrat ke atas Parti Republikan mencetuskan keyakinan dalam kalangan pelabur.
Bagaimanapun, pasaran saham Asia yang banyak ditunjangi sektor teknologi secara keseluruhannya mempamerkan penurunan, dengan Seoul merosot lebih daripada lima peratus.
Dalam pada itu, harga minyak mentah mula stabil selepas merosot hingga 10 peratus pada Rabu berikutan harapan terhadap kemajuan penyelesaian diplomatik bagi menamatkan peperangan antara AS dan Iran susulan tekanan politik daripada Parti Demokrat.
“Tekanan pasaran dilihat semakin reda berikutan kejayaan Parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai risiko perluasan perang di Asia Barat,” kata Susannah Streeter, Ketua Strategi Pelaburan di Wealth Club.
“Namun, sentimen terhadap perdagangan berasaskan AI kekal rapuh memandangkan jangkaan pembentukan pusat data yang perlahan masih memberi tekanan kepada pemain utama sektor teknologi,” katanya.
Streeter menambah situasi serupa dijangka berlaku di Wall Street dengan indeks S&P dijangka meneruskan aliran rali manakala indeks Nasdaq dijangka terus berdepan tekanan.
Di Britain, mata wang pound tidak menunjukkan banyak perubahan menjelang mesyuarat Bank of England dengan pihak pembuat dasar dijangka menaikkan kadar faedah penanda aras buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun berikutan kadar inflasi yang kekal tinggi.
Selain isu AI dan pilihan raya AS, saham Air France-KLM melonjak lebih 12 peratus selepas syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan kendalian yang lebih tinggi pada suku ketiga di sebalik peningkatkan kos bahan api pesawat.
Sebaliknya, saham gergasi pertahanan Jerman, Rheinmetall merosot hampir 16 peratus selepas syarikat itu memotong unjuran perolehannya buat kali kedua dalam tempoh beberapa bulan berikutan tindakan kerajaan Berlin membatalkan kontrak kapal perang utama.- AFP