B-16 negara perlu manfaatkan aksi di laman sendiri – Shukor

Skuad B-16 negara giat menjalani latihan di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Putrajaya/Foto RTM

PUTRAJAYA, 5 November – Skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara harus memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu kemenangan apabila membuka kempen kelayakan Piala Asia B-17 2027 menentang Palestin, Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Shukor sasarkan pasukan muncul juara kumpulan untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir.
  • Shukor ingatkan pemain jangan ambil ringan Palestin, Singapura dan Guam.
  • Motivasi pemain dilaporkan pada tahap tertinggi menjelang kempen.
  • Adam Muqri: peluang terakhirnya; pasukan tidak menonjol dari segi fizikal tetapi unggul kelajuan, teknikal dan taktikal.

Ketua jurulatih skuad bola sepak B-16 negara Muhammad Shukor Adan menegaskan aksi pembukaan itu amat penting dalam menentukan momentum pasukan, lebih-lebih lagi Malaysia menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi mengesahkan slot ke pusingan akhir tahun depan.

“Kalau berdasarkan kedudukan, tidak mustahil Malaysia boleh mara, namun kita tidak boleh mengambil ringan akan Palestin, Singapura dan Guam.

“Motivasi pemain berada pada tahap tertinggi ketika ini,” tambah beliau ketika ditemui selepas skuad negara menjalani latihan di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di sini hari ini.

Muhammad Shukor Adan (kiri) dan Adam Muqri Muhaizam/Foto RTM

Dalam pada itu, pemain pertahanan Adam Muqri Muhaizam teruja kerana ia merupakan peluang terakhirnya untuk menyertai Piala Asia B-17.

“Apa yang saya boleh katakan, pasukan kami mungkin tidak menyerlah dari segi fizikal tetapi kami menguasai kelajuan permainan dari segi teknikal dan taktikal,” ujar Adam Muqri.

Malaysia akan menjadi tuan rumah pada aksi Kumpulan E yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dari 8 hingga 20 November.

Selepas bertemu Palestin pada Ahad ini, skuad negara dijadual berdepan Singapura pada 14 November, diikuti Guam (17 November) dan India (20 November).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.