
KUALA LUMPUR, 5 November – Organisasi media tradisional perlu meluaskan jaringan kerjasama dengan pencipta kandungan, pempengaruh dan pemimpin pendapat utama (KOL) bagi memastikan maklumat yang disampaikan diyakini masyarakat, khususnya dalam landskap semasa yang semakin kompleks.
- Kepercayaan kekal asas kredibiliti; organisasi mesti jujur dan telus berkongsi nilai, kejayaan serta kegagalan.
- Tiada satu strategi komunikasi sesuai untuk semua; setiap jenama perlu strategi khusus mengikut kekuatan dan sasaran.
- Pendekatan hiperlokal dan penglibatan komuniti secara langsung penting, sambil melibatkan generasi muda dalam keputusan dan kepimpinan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, pendekatan bekerja secara bersendirian atau dalam kelompok tersendiri tidak lagi sesuai, sebaliknya peneraju industri perlu kerjasama bagi memanfaatkan kekuatan serta kepakaran pihak terlibat.
“Media tradisional perlu bekerjasama dengan media baharu kerana pada masa ini sesiapa sahaja boleh menjadi media.
“Apa yang penting, media arus perdana, penyiar awam, pencipta kandungan, pemimpin pendapat utama (KOL) dan pempengaruh mempunyai persamaan iaitu semuanya menghasilkan kandungan.
“Jadi, bagaimana kita boleh bekerjasama pada ketika ini?,” katanya ketika menjadi panel sesi dialog bertajuk Public Impact and Nation Building, World Marketing Summit 2026 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Tegas beliau, kepercayaan kekal menjadi asas kepada kredibiliti organisasi media, dan setiap organisasi perlu berupaya menyampaikan nilai, kejayaan serta kegagalan secara telus bagi membina hubungan yang lebih kukuh dengan masyarakat.
“Dari perspektif organisasi media, perkara paling penting adalah kita kembali kepada asas utama, iaitu kepercayaan.
“Bagaimana kita menyampaikan nilai yang dipegang organisasi? Bagaimana kita berkongsi kejayaan serta kegagalan yang pernah dilalui?,” ujarnya.
Menurut Datuk Ashwad, perubahan landskap teknologi dan corak penggunaan media turut menyebabkan organisasi berdepan cabaran untuk menarik perhatian khalayak, di samping memastikan jenama mereka terus diingati dalam lambakan kandungan digital.
Katanya, tiada satu formula atau strategi komunikasi yang boleh digunakan secara menyeluruh oleh semua organisasi kerana setiap jenama mempunyai keperluan, kekuatan dan kumpulan sasaran berbeza.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan lebih dekat dengan komuniti atau ‘hiperlokal’ dalam membina kepercayaan, dengan kandungan digital perlu disokong aktiviti dan penglibatan secara langsung di peringkat setempat.
Menyentuh mengenai perubahan generasi dalam persekitaran kerja dan kepimpinan, Datuk Ashwad berkata, organisasi perlu memahami bahawa generasi muda kini bukan sekadar mahu suara mereka didengari, tetapi juga mahu dilibatkan dalam proses membuat keputusan.
Konsep kepimpinan juga semakin berubah daripada pendekatan sehala kepada peranan sebagai penyelaras yang mampu menghimpunkan pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian bersama, termasuk mengakui bahawa seseorang pemimpin tidak semestinya mempunyai semua jawapan.