
KUALA LUMPUR, 5 November – Pelumba basikal bukit (MTB) negara, Muhammad Syawal Mazlin, meneruskan misi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menerusi Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Piala YDP Tanjong Malim 2026 di Perak, bulan depan.
- Kejohanan 10 hingga 13 Disember penting untuk mengumpul mata ranking UCI bagi laluan kelayakan.
- Syawal kini ranking ke-326 dunia; perlu naik ke kelompok 90 terbaik untuk mempertingkat peluang ke Olimpik.
- Dia lebih fokus pada XCO, sasar kelompok lima terbaik, dan kejohanan juga menjadi platform pemilihan untuk Sukan SEA.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Disember itu menjadi medan penting buat atlet berusia 22 tahun berkenaan untuk mengumpul mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Kejohanan bertaraf Kelas 2 UCI itu merupakan penampilan kedua Syawal dalam misi memburu slot ke LA28, selepas meraih tempat ketiga dalam acara merentas desa Olimpik (XCO) pada kejohanan pembuka tirai di Kelantan, minggu lalu.
Mengakui cabaran untuk melayakkan diri ke temasya berprestij itu bukan mudah, Syawal yang kini berada di ranking ke-326 dunia perlu meningkatkan kedudukan ke kelompok 90 terbaik dunia bagi mencerahkan peluang ke Olimpik.
Beliau berkata, persaingan sengit dalam kalangan pelumba Asia menuntut komitmen tinggi serta penyertaan lebih kerap dalam kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan kedudukan ranking.
“Untuk kelayakan Olimpik kategori lelaki sangat mencabar kerana kami memerlukan banyak perlumbaan. Pelumba lelaki di Asia sahaja sangat kompetitif.
“Jadi, kami perlukan perlumbaan dan pendedahan yang banyak supaya tidak ketinggalan jauh dalam ranking UCI ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kejohanan berkenaan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai acara pilihannya di Tanjong Malim, Syawal berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada XCO berbanding acara penyingkiran merentas desa (XCE) yang turut dipertandingkan.
“Saya lebih sesuai untuk XCO kerana saya pelumba berdaya tahan, manakala XCE lebih terarah kepada pelumba pecut,” katanya.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di tempat kelahirannya dijangka menyuntik semangat Syawal untuk memberikan aksi terbaik, dengan sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.
Kejohanan selama empat hari itu bukan sahaja menjadi medan penting untuk memburu mata kelayakan LA28, malah turut berfungsi sebagai platform pemilihan barisan pelumba negara bagi menghadapi temasya Sukan SEA tahun depan.