Ancaman siber tidak jejas aktiviti ekonomi negara

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November – Peningkatan ancaman serangan siber di peringkat global setakat ini tidak menjejaskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan operasi syarikat di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tiada gangguan di luar jangka dilaporkan setakat ini, namun semua pihak perlu terus berwaspada terhadap kemungkinan serangan yang boleh menjejaskan aset strategik negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyelaraskan tindak balas melalui Ketua Setiausaha Negara dan menggesa kewaspadaan bagi melindungi aset strategik negara.
  • Unjuran pertumbuhan kukuh; DOSM anggar suku ketiga sekitar 5.3% dan unjuran 2026 antara 4.8 hingga 5.2%.
  • Minat pelabur terhadap pusat data kekal tinggi; cabaran memastikan penggunaan tenaga dan air berhemah sambil mengekalkan bekalan domestik.

“Serangan siber sememangnya berlaku di beberapa negara dan perkara ini menjadi iktibar kepada kita untuk sentiasa berwaspada, khususnya melibatkan aset-aset strategik negara serta perkara yang berpotensi mengganggu aktiviti ekonomi.

“Perkara ini telah diselaraskan di peringkat kerajaan menerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN). Sementara itu, di peringkat Kementerian Ekonomi, kita melihat setakat ini tiada gangguan di luar jangkaan terhadap kelangsungan aktiviti ekonomi dan operasi syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan dan Pameran Strategik Peralihan Tenaga Bersih Asia (CETA) 2026, di sini, hari ini.

Mengulas kesan ancaman berkenaan terhadap keyakinan pelabur, beliau berkata, Malaysia masih mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan meskipun berdepan pelbagai ketidaktentuan geopolitik global.

Menurut beliau, kedudukan Malaysia yang stabil serta prospek pertumbuhan ekonomi yang baik berpotensi menjadikan negara ini sebagai pilihan pelabur.

“Setakat ini, anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku ketiga berada pada paras yang meyakinkan iaitu pada sekitar 5.3 peratus.Kita juga masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2026 antara 4.8 hingga 5.2 peratus,” katanya lagi.

Dalam masa sama, katanya, minat pelabur untuk membawa masuk pelaburan dalam sektor pusat data juga masih kekal tinggi.

“Cabaran kita dari segi pembangunan pusat data adalah untuk memastikan penggunaan tenaga dan sumber air dilaksanakan secara berhemah. Pada masa sama, kita perlu memastikan komitmen untuk menyediakan bekalan tenaga kepada pengguna domestik dan pengguna-pengguna lain terus terpelihara,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan pembangunan infrastruktur digital dan pusat data yang semakin pesat.

Ini selain pendirian tegas kerajaan dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya berkaitan Palestin dan Gaza.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.