
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Dr Mazlan Che Soh
KUALA LUMPUR, 5 November – Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat bagi mengelakkan kandungan palsu, kebencian dan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara, khususnya menjelang pilihan raya.
- Kerangka perundangan wujud untuk kawal penyalahgunaan media sosial, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
- Laporkan kandungan berunsur kebencian, ugutan atau provokasi kepada pihak berkuasa seperti MCMC atau polis.
- Kawal tingkah laku dalam talian, elakkan penyebaran kandungan negatif dan penggunaan bahasa tidak wajar.
- Manfaatkan media sosial untuk sebar maklumat positif, promosi pembangunan dan kukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mazlan Che Soh berkata, Malaysia mempunyai kerangka perundangan bagi mengawal penyalahgunaan media sosial, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
“Pengguna perlu melaporkan kandungan berunsur kebencian, ugutan dan provokasi kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis.
“Setiap individu juga perlu mengawal tingkah laku ketika menggunakan media sosial, termasuk mengelakkan penyebaran kandungan negatif dan penggunaan bahasa yang tidak wajar,” katanya selepas sesi temubual dalam Program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri, Kota Media.
Dr Mazlan turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.
Justeru, media sosial sewajarnya dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat positif, mempromosikan pembangunan negara serta memperkukuh perpaduan masyarakat.