Republikan kalah besar, Trump tetap pertahan perang Iran

Presiden AS Donald Trump ketika melawat tapak pembinaan dewan tarian East Wing di White House, Washington / Foto AFP

WASHINGTON, 5 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui konflik ketenteraan dengan Iran menyumbang kepada kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, namun menegaskan beliau tetap akan melancarkan operasi ketenteraan itu sekiranya diberi peluang sekali lagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik menyebabkan kenaikan harga petrol jangka pendek, menjejaskan sokongan terhadap Republikan.
  • Naib Presiden JD Vance menilai perang dengan Iran menyumbang kepada kehilangan undi Republikan.
  • Demokrat menguasai Dewan Perwakilan dan Senat, memberi kuasa siasatan lebih besar terhadap pentadbiran Trump.
  • Kemenangan Demokrat dijangka menyukarkan pelaksanaan agenda perundangan Trump dan meningkatkan tentangan terhadap dasar domestik.

Trump berkata, konflik berkenaan menyebabkan kenaikan harga petrol dalam jangka pendek, sekali gus menjejaskan sokongan terhadap Republikan dalam pilihan raya Selasa lalu.

“Saya fikir perkara itu sebahagian besarnya benar kerana ia menyebabkan harga petrol meningkat sedikit dalam jangka pendek. Namun, jika perlu melakukannya sekali lagi, saya tetap akan berbuat demikian kerana dalam jangka panjang, itulah satu-satunya penyelesaian. Iran tidak boleh dibenarkan memiliki senjata nuklear,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat susulan penilaian Naib Presiden AS, JD Vance, bahawa perang dengan Iran menyebabkan Republikan kehilangan undi dalam pilihan raya berkenaan.

Dalam pilihan raya itu, Parti Demokrat berjaya menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat, dengan kenaikan harga bahan api serta kesan ekonomi akibat konflik Iran antara faktor yang membebankan Republikan.

Kemenangan Demokrat dijangka menyukarkan pelaksanaan agenda perundangan Trump selain memberi parti itu kuasa lebih besar untuk menjalankan siasatan terhadap pentadbirannya.

Trump turut berkata beliau menjangkakan harga minyak akan meningkat lebih tinggi susulan konflik itu, namun menegaskan tindakan ketenteraan tersebut tidak boleh dielakkan.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kempen terakhirnya gagal mempengaruhi keputusan pilihan raya, sebaliknya mendakwa Republikan akan menang sekiranya namanya turut berada dalam kertas undi.

“Tidak, jika nama saya berada dalam kertas undi, kami pasti menang. Anda sendiri melihat kehadiran ribuan orang dalam setiap perhimpunan kempen. Jika saya bertanding, kami pasti menang,” katanya.

Kemenangan Demokrat dijangka membuka ruang kepada parti itu untuk mencabar tindakan Trump dalam mengendalikan perang Iran menerusi siasatan kongres serta usaha mengehadkan kuasa ketenteraannya.

Demokrat juga dijangka meningkatkan tentangan terhadap agenda domestik pentadbiran Trump. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.