PGA tumpas ‘makmal’ proses air ketum, rampasan bernilai RM20,000

Antara 480 bungkusan air ketum, 127 kg daun ketum yang dirampas PGA di Kampung Belukar, Pasir Mas semalam/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 5 November – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan memproses air ketum yang dianggarkan lebih RM20,000 di sebuah bangsal di Kampung Belukar, Pasir Mas, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun ditahan.
  • Rampasan termasuk 127 kilogram daun ketum dan 480 bungkusan air ketum.
  • Peralatan memproses ditemui; kegiatan dua tahun menghasilkan 400 hingga 500 bungkusan sehari, pekerja dibayar RM70 hingga RM80.

Serbuan kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun.

Dalam serbuan itu, serta rampasan 127 kilogram daun ketum dan 480 bungkusan air ketum yang dianggarkan bernilai RM20,770.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 127 kilogram (kg) daun ketum dan 480 bungkusan air ketum.

“Hasil risikan dan pemantauan selama 30 minit di lokasi berkenaan dua lelaki sedang mengambil bungkusan plastik berisi cecair kehijauan yang dipercayai air ketum.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bangsal itu turut menemukan peralatan memproses air ketum termasuk periuk, dua unit dapur memasak, tong gas, lapan bekas polisterin dan sebuah tong plastik,” katanya menerusi kenyataan pada malam Rabu.

‘Makmal’ proses air ketum diserbu PGA dalam Op Taring Mitra di Kampung Belukar, Pasir Mas/Foto PGA Briged Tenggara

Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku sebagai pemilik air dan daun ketum yang ditemukan, manakala seorang lagi mengaku bekerja memproses bahan berkenaan.

Kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak dua tahun lalu.

Mereka turut mengupah beberapa pekerja dengan bayaran antara RM70 hingga RM80 seorang bagi menjalankan kerja merebus dan membungkus air ketum.

Kegiatan itu dianggarkan menghasilkan antara 400 hingga 500 bungkusan air ketum sehari, yang mampu dijual dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Air ketum berkenaan dijual pada harga RM10 sebungkus secara runcit, manakala jualan borong ditawarkan pada harga RM8 sebungkus.

Kedua-dua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.