White House muat naik gambar Trump, tegaskan masih Presiden AS

Foto AFP

ISTANBUL, 5 November -White House pada Rabu memuat naik gambar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang membongkok di atas meja Resolute Desk, disertai mesej: “Makluman khidmat awam: Trump masih Presiden anda”, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Parti Demokrat menang besar, menguasai Dewan Perwakilan dan Senat, menamatkan penguasaan Republikan di Kongres.
  • Keputusan memberi Demokrat kuasa lebih besar untuk menyekat agenda perundangan Trump selepas Republikan hanya miliki majoriti tipis sebelum ini.
  • Trump akui Demokrat "melakukan tugas dengan baik", sedia bekerjasama termasuk isu imigresen, namun kata pengundi mungkin tidak terima kenaikan harga petrol.

Hantaran menerusi akaun White House di platform media sosial X itu dibuat selepas Parti Demokrat mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, apabila berjaya menguasai Dewan Perwakilan dan Senat, sekali gus menamatkan penguasaan Parti Republikan di Kongres.

Keputusan itu dijangka memberikan Parti Demokrat pengaruh lebih besar untuk menyekat agenda perundangan Trump, memandangkan Parti Republikan sebelum ini hanya memiliki majoriti tipis di kedua-dua dewan.

Trump sebelum ini mengakui bahawa Parti Demokrat “melakukan tugas dengan baik” dalam pilihan raya itu, namun berpendapat calon Parti Republikan mungkin memperoleh keputusan lebih baik sekiranya namanya turut tersenarai sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau turut berkata pengundi menyokong dasarnya terhadap Iran, tetapi “mungkin tidak bersedia” menerima kesan jangka pendek berupa kenaikan harga petrol.

Sambil memuji calon Parti Demokrat kerana berkempen “bersungguh-sungguh”, Trump menegaskan keputusan pilihan raya itu bukan satu “tamparan terhadap saya”.

Presiden itu berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Parti Demokrat dalam “banyak, banyak perkara”, termasuk isu imigresen. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.