UPKK platform ukur penghayatan dan akhlak murid

Dr. Zulkifli Hasan meninjau pusat peperiksaan UPKK di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) Putrajaya/Foto JAKIM

PUTRAJAYA, 4 November – Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bukan sekadar mengukur tahap penguasaan ilmu agama, malah menjadi antara platform menilai pembelajaran dan penghayatan pendidikan Islam dalam kalangan murid.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan KAFA membentuk akhlak dan pengamalan ibadah dalam kalangan kanak-kanak.
  • Penghargaan kepada guru, ibu bapa dan murid atas pelaksanaan KAFA serta doa untuk kejayaan calon.
  • Lawatan menteri meninjau pusat peperiksaan, persediaan dan semangat calon sepanjang peperiksaan.
  • UPKK dinilai sebagai instrumen menilai penguasaan KAFA merangkumi aspek pengetahuan dan amalan pendidikan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) turut memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak serta pengamalan ibadah kanak-kanak.

“Anak-anak ini kita didik melalui kelas fardhu ain dan juga kelas al-Quran. Alhamdulillah, kita dapat saksikan bagaimana akhlak mereka, aplikasi mereka dalam solat dan sebagainya.

“Jadi, terima kasih kepada guru, ibu bapa, anak-anak serta semua pihak yang bersama-sama melaksanakan program KAFA ini. Kita doakan bit-taufiq wan-najah kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan. insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian meninjau ke pusat peperiksaan UPKK di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini.

Seramai 248 calon menduduki UPKK di sekolah berkenaan, manakala kira-kira 241,000 calon di seluruh negara mengikuti peperiksaan itu yang berlangsung dari 2 hingga 5 November.

Lawatan berkenaan turut meninjau suasana peperiksaan serta melihat persediaan dan semangat calon dalam menghadapi penilaian berkenaan sekali gus mencerminkan perhatian berterusan kerajaan terhadap usaha memperkukuh pendidikan Islam, khususnya dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.

UPKK merupakan antara instrumen penilaian bagi mengukur tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran KAFA, merangkumi aspek pengetahuan dan amalan pendidikan Islam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.