Selangor ambil langkah segera naikkan ban Sungai Pelempas tangani banjir

Foto MBSA

SHAH ALAM, 4 November – Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah penyelesaian segera bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terjejas termasuk menaikkan ban Sungai Pelempas di Kampung Melayu Subang antara 0.5 hingga satu meter.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaksanakan langkah jangka pendek sambil menunggu RTB Sungai Buloh, projek jangka panjang dijangka memakan masa empat hingga lima tahun.
  • Tumpuan pada lokasi rendah dikenalpasti berisiko akibat tebing sungai yang tidak lagi mampu menampung aliran air.
  • Kerajaan negeri akan mendapatkan kelulusan segera untuk kerja-kerja dengan anggaran kos kurang daripada RM1 juta.
  • Menambah peruntukan RM70 juta bagi 255 projek penyelesaian segera termasuk pemasangan pam, pembersihan saliran dan pembaikan tebing sungai.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Datuk Ir. Izham Hashim berkata langkah itu dilaksanakan sebagai tindakan jangka pendek, sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

Katanya, kerja berkenaan akan memberi tumpuan kepada beberapa lokasi rendah yang dikenal pasti berisiko, susulan keadaan tebing sungai yang tidak lagi mampu menampung aliran air ketika hujan lebat.

Kerajaan negeri juga akan mendapatkan kelulusan bagi membolehkan kerja berkenaan dilaksanakan segera dengan anggaran kos kurang RM1 juta.

“Kita takkan tunggu projek jangka panjang itu dengan mengambil langkah segera dan langkah sederhana berdasarkan keperluan semasa. Contohnya di Kampung Melayu Subang ini, tebing sungai air dah melimpah…kapasiti tak cukup…kita akan buat ban dengan segera,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) di sini.

Menurutnya, RTB Sungai Buloh yang melibatkan peruntukan kira-kira RM700 juta masih di peringkat awal, termasuk proses reka bentuk dan pengambilan tanah sebelum kerja fizikal dilaksanakan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri menambah peruntukan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek penyelesaian segera di seluruh Selangor.

“Antara langkah dikenal pasti termasuk pemasangan pam air, pembersihan sistem saliran serta pembaikan tebing sungai bagi mengurangkan risiko limpahan air,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.