Kerjasama TERAJU-UTM buka peluang usahawan Bumiputera ceburi industri ikan kelah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November – Kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi projek bernilai RM2.15 juta membuka peluang kepada usahawan Bumiputera, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), menceburi industri penternakan ikan kelah yang mempunyai nilai komersial tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif menyediakan kemudahan penternakan, penyelidikan, pemindahan teknologi dan sokongan pengkomersialan untuk membangunkan perusahaan akuakultur berdaya maju.
  • Menggunakan Sistem Akuakultur Kitar Semula RAS, sistem pengesanan kegagalan pam dan pemberian makanan automatik berasaskan IoT serta AI.
  • Peserta di 15 lokasi terima kolam, sistem penapisan dan latihan; boleh jana pendapatan melalui penjualan ikan kelah, ternakan sampingan dan produk hiliran.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata inisiatif itu bukan sahaja menyediakan kemudahan penternakan, malah menggabungkan penyelidikan, pemindahan teknologi dan sokongan pengkomersialan bagi membolehkan peserta membangunkan perusahaan akuakultur yang berdaya maju.

Menerusi projek itu, peserta di 15 lokasi penternakan di Johor menerima kemudahan termasuk tiga kolam ternakan, sistem penapisan air dan kelengkapan sokongan, selain latihan teknikal serta keusahawanan.

Dari aspek teknologi, projek berkenaan menggunakan Sistem Akuakultur Kitar Semula (RAS) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air, selain membangunkan sistem pengesanan kegagalan pam air dan pemberian makanan automatik berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, melalui inisiatif berkenaan, peserta disasarkan menjana pendapatan menerusi penjualan ikan kelah selepas mencapai saiz komersial, yang lazimnya mengambil masa antara dua setengah hingga tiga tahun.

ujarnya, sepanjang tempoh menunggu tuaian itu, peserta turut berpeluang memperoleh pendapatan melalui ternakan ikan sampingan seperti tilapia serta penghasilan produk hiliran.

Bagi memperkukuh peluang pemasaran, projek itu turut melibatkan rakan industri, Far-East Planet, untuk membantu menghubungkan peserta dengan pasaran dan memasarkan hasil ternakan apabila ikan mencapai saiz komersial.

Beliau turut menjelaskan pendekatan bersepadu itu diharap dapat membina keupayaan peserta mengusahakan perusahaan akuakultur secara mampan, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan berterusan dalam kalangan komuniti Bumiputera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.