Jambatan Jalan Kubu Gajah runtuh, laluan ditutup sepenuhnya

Foto JKR Daerah Petaling

KUALA LUMPUR, 4 November – Jambatan di Jalan Kubu Gajah yang merentasi Sungai Subang runtuh awal pagi ini, menyebabkan laluan utama menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat dan hakisan tebing sungai menjejaskan kestabilan struktur jambatan.
  • Laluan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bagi menjamin keselamatan pengguna.
  • Lencongan dilaksanakan, pengguna ke Merbau Sempak dan Paya Jaras Hilir diberi laluan alternatif.
  • Jambatan sementara jenis Bailey akan dipasang sementara menunggu pembinaan jambatan kekal.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling dalam kenyataan memaklumkan, kejadian dianggarkan berlaku kira-kira 2 pagi susulan hujan lebat yang menyebabkan aliran Sungai Subang menjadi deras.

Menurut JKR, hujan sebanyak 48 milimeter direkodkan di Stesen Paya Jaras Hilir pada hari ini, selain kerosakan tebing sungai berhampiran jambatan yang menjejaskan kestabilan strukturnya.

“Susulan kejadian itu, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” kata kenyataan tersebut.

Bagi melancarkan pergerakan trafik, JKR turut melaksanakan lencongan dengan pengguna yang menuju ke Merbau Sempak dan Kubu Gajah diminta menggunakan Jalan Merbau Sempak menghala ke Masjid Nurul Iman.

Sementara itu, pengguna yang menuju ke Paya Jaras Hilir masih boleh menggunakan Jalan Paya Jaras Hilir dari FT54.

JKR memaklumkan, pemasangan papan tanda amaran, penghadang dan papan tanda lencongan turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam usaha memulihkan laluan, jambatan sementara jenis Bailey akan dipasang sebagai langkah jangka sederhana, sebelum pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan struktur yang runtuh dilaksanakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.