
PUTRAJAYA, 3 November – Setiap keputusan pembangunan perlu mengambil kira kesannya terhadap aliran air dan komuniti di kawasan hilir, bukan hanya tertumpu kepada kawasan dalam sempadan projek.
- Aktiviti hulu seperti pembukaan tanah dan perubahan aliran sungai memberi kesan kepada komuniti hilir, termasuk kawasan jauh dari projek.
- Perancangan pembangunan mesti mengambil kira sumber air, pergerakan aliran dan komuniti penerima untuk elak risiko keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
- Dasar, institusi dan pelaburan pengurusan air perlu diselaraskan supaya keputusan dibuat berasaskan bukti dan kepentingan bersama.
- Kerjasama agensi kerajaan, institusi penyelidikan, industri dan komuniti setempat perlu diperkuat untuk pengurusan sumber air menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, aktiviti di kawasan hulu sungai, termasuk pembukaan tanah, perubahan aliran sungai dan pembangunan kawasan tadahan air, boleh memberi kesan kepada komuniti di kawasan lain.
“Apa yang berlaku di kawasan hulu sungai akan memberi kesan kepada kawasan hilir. Keputusan untuk membersihkan kawasan tanah, mengubah aliran sungai atau membangunkan kawasan tadahan air boleh memberi kesan kepada komuniti yang jauh di luar sempadan sesuatu projek,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekohidrologi dan Daya Tahan Air (ICEWR 2026) sulung di The Everly Putrajaya, hari ini
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perancangan pembangunan perlu mengambil kira sumber air, pergerakan aliran serta komuniti yang menerima kesannya bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Jelasnya, dasar, institusi dan pelaburan berkaitan pengurusan air juga perlu diselaraskan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan bukti serta kepentingan bersama.
Dalam pada itu, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, industri dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi memastikan pengurusan sumber air dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, air menghubungkan setiap tindakan manusia meskipun tanggungjawab pengurusannya terletak pada agensi dan pihak berkuasa yang berbeza.
Sehubungan itu, penyelarasan dasar dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan pembangunan negara bergerak seiring dengan usaha memelihara kelestarian sumber air.