
- Kekalahan 0-1 kepada Everton selepas Thierno Barry menjaringkan gol kemenangan awal babak kedua.
- Jacob Ramsey dilayangkan kad merah selepas mengasari Harrison Armstrong pada penghujung perlawanan.
- Penyokong memboo Jaissle dan pemain ketika perlawanan berakhir, menambah tekanan terhadap pengurus.
- Pasukan kini di tangga ke-13, hanya dua kemenangan dalam tujuh perlawanan; perlu perbaiki penguasaan bola.
NEWCASTLE, 3 Novomber– Pengurus Newcastle United, Matthias Jaissle mengakui bertanggungjawab atas kekalahan 0-1 kepada Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St James’ Park pada Isnin.
Kekalahan itu menyaksikan Newcastle tewas empat kali dalam lima perlawanan terakhir selepas penyerang Everton, Thierno Barry menjaringkan gol kemenangan pada awal babak kedua.
Keadaan bertambah buruk apabila pemain tengah Newcastle, Jacob Ramsey dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan kerana mengasari Harrison Armstrong.
Jaissle dan pemainnya turut menerima sorakan boo daripada penyokong ketika perlawanan berakhir.
Newcastle kini berada di tangga ke-13 liga, dengan hanya dua kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir semua pertandingan.
“Selepas persembahan seperti itu, saya memahami reaksi penyokong. Saya bertanggungjawab terhadap keadaan ini,” katanya.
Pengendali berusia 38 tahun itu mengakui pasukannya gagal bermain dengan baik dan perlu memperbaiki banyak kelemahan, khususnya ketika menguasai bola.
Beliau turut mendakwa gol kemenangan Everton tidak sepatutnya dibenarkan kerana berlaku kekasaran terhadap pertahanan Newcastle, Fabian Schar, sebelum jaringan itu dihasilkan.
Bagaimanapun, Jaissle mengakui pemainnya tidak cukup berani untuk bangkit selepas ketinggalan.
“Kami tidak cukup berani ketika menguasai bola dan terlalu banyak melakukan hantaran jauh. Jika gagal memberikan persembahan ketika diperlukan, kami tidak layak untuk menang,” katanya.
Newcastle kini perlu bangkit apabila bertemu Fulham pada Sabtu bagi meredakan tekanan terhadap Jaissle sebelum saingan liga berehat untuk aksi antarabangsa.
Jaissle dilantik menggantikan Eddie Howe selepas pengendali itu meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim lalu. – AFP.