
KUALA LUMPUR, 2 November – Kerajaan tidak bercadang memindah keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha transformasi dan pemodenan sektor berkenaan.
- Penerapan automasi dan pendigitalan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
- Kerajaan menyediakan pelbagai insentif strategik di bawah rangka NIMP 2030.
- Pemodenan sektor pembuatan dilaksanakan secara inklusif untuk menjaga keselamatan ekonomi.
- PKS dan kepentingan Bumiputera mendapat manfaat melalui peruntukan, geran dan bantuan teknologi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu dilaksana menerusi penerapan teknologi automasi dan pendigitalan selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Menurut beliau, kerajaan menyediakan pelbagai insentif strategik di bawah NIMP 2030 bagi memastikan proses pemodenan sektor pembuatan dilaksanakan secara inklusif.
“Kerajaan melaksanakan pelbagai insentif strategik di bawah kerangka NIMP 2030, khususnya dalam misi keempat iaitu untuk menjaga keselamatan ekonomi dan inklusiviti.
“Sebarang pemodenan yang berlaku dalam sektor pembuatan ini, kita akan pastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kepentingan Bumiputera turut mendapat manfaat dengan bantuan kerajaan melalui pelbagai peruntukan, geran dan kemajuan teknologi untuk menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin di Dewan Rakyat, di sini.