Platform digital buka peluang PKS tembusi pasaran global

Foto RTM

BUKIT JALIL, 1 November – Penggunaan platform digital membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa serta mengembangkan perniagaan ke peringkat serantau dan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi baharu membolehkan usahawan memperluas pasaran produk tempatan dan membawa masuk produk luar ke Malaysia.
  • Peniaga digesa lebih terbuka memanfaatkan teknologi terkini serta meneroka pendekatan perniagaan baharu untuk meningkatkan daya saing.
  • Gobind menyambut baik inisiatif kerajaan India menyediakan insentif, galakkan penyertaan serta peluang kerjasama perniagaan rentas sempadan.
  • Karnival Deepavali 2026 mengukuh kedudukan serantau, menarik pengunjung antarabangsa dan memupuk perpaduan serta kebersamaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, perkembangan teknologi baharu membolehkan usahawan memperluas pasaran produk tempatan, selain membawa masuk produk dari luar negara ke Malaysia.

Beliau berkata, peniaga perlu lebih terbuka memanfaatkan teknologi terkini dan meneroka pendekatan perniagaan baharu bagi meningkatkan daya saing.

“Kejayaan membawa mesej bahawa perniagaan tidak lagi terhad kepada pasaran tempatan atau pasaran tradisional tetapi mampu menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan untuk meneroka peluang baharu”, ujarnya.

“Para peniaga perlu lebih terbuka dalam memanfaat teknologi terkini serta meneroka
pendekatan perniagaan baharu bagi memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2026 di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri Somnath Ghosh.

Dalam pada itu, Gobind turut menyambut baik usaha Kerajaan India dalam menyediakan insentif serta galakan kepada para peniaga dari negara itu untuk menyertai acara berkenaan.

“Inisiatif sedemikian wajar dihargai kerana bukan sahaja dapat menggalakkan penyertaan usahawan luar, malah membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dan meneroka potensi pasaran baharu.”

Tambah beliau, “sokongan kerajaan dalam menyediakan insentif kepada sektor perusahaan turut membantu mewujudkan platform yang lebih kondusif bagi memperkukuh hubungan perdagangan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi antara kedua-dua negara.”

Karnival Deepavali 2026 menyasar kehadiran lebih 400,000 pengunjung, termasuk dari Indonesia, Filipina dan Australia, sekali gus mengukuh kedudukannya sebagai acara perayaan yang mendapat perhatian di peringkat serantau.

Memasuki edisi ke-24, karnival yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 7 November menampilkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Deepavali serta memupuk perpaduan, keharmonian dan kebersamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.