KUSKOP salur RM10.7 bilion pembiayaan kepada hampir 300,000 usahawan

Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong / Foto RTM

KAJANG, 1 November – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.7 bilion kepada hampir 300,000 usahawan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan kredit mikro RM3.14 bilion membantu kira-kira 200,000 penjaja, peniaga kecil dan peruncit di seluruh negara.
  • KUSKOP arahkan jawapan permohonan bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam untuk elak peniaga beralih kepada pinjaman ceti haram.
  • TEKUN laksanakan permohonan dalam talian sepenuhnya; kementerian galak perniagaan manfaatkan suntikan Belanjawan 2027 bagi merancakkan PKS.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu melepasi dua pertiga daripada sasaran keseluruhan RM15 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.14 bilion disalurkan menerusi pembiayaan kredit mikro yang memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 usahawan, termasuk penjaja, peniaga kecil dan peruncit di seluruh negara.

“Jadi untuk mengelakkan masalah ini, kalau permohonan untuk pembiayaan di bawah RM20,000, yang rata-ratanya peniaga kecil, penjaja kita, pekedai kita, peruncit kita, maka kita dah bawah KUSKOP, agensi-agensi, kena bagi jawapan bukan 7 hari, bukan 5 hari, bukan 3 hari. Jawapan dalam tempoh masa 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang, yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, langkah proaktif ini penting bagi membantu penjaja dan peniaga kecil yang memerlukan modal pusingan segera, sekali gus mengelakkan mereka daripada beralih kepada pinjaman ceti haram atau ah long.

Selain itu, katanya, bagi memudahkan akses pembiayaan, khususnya kepada peniaga di kawasan luar bandar, TEKUN Nasional buat julung kalinya dalam tempoh 30 tahun penubuhannya melaksanakan sistem permohonan secara dalam talian sepenuhnya bermula Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Steven Sim menggesa komuniti perniagaan tempatan supaya bersedia memanfaatkan limpahan ekonomi hasil suntikan dana kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang dijangka bermula awal tahun hadapan.

Katanya, peruntukan melebihi RM1 bilion bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP), selain RM16 bilion menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada lebih 13 juta rakyat, dijangka mengalir semula ke dalam ekonomi domestik.

Aliran peruntukan itu dijangka merancakkan aktiviti perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.