
GENEVA 1 November – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kematian seorang kakitangannya di Yaman ketika dalam tahanan kumpulan Houthi, selain menuntut siasatan segera dan bebas berhubung insiden itu.
- Mohammad al-Shami ditahan oleh Houthi sejak Jun 2024 dan dilaporkan meninggal dunia lebih sebulan sebelum keluarga dimaklumkan.
- Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menuntut penjelasan penuh dan siasatan menyeluruh daripada pihak berkuasa Houthi.
- Beliau menggesa pembebasan segera kakitangan PBB lain; 71 kakitangan masih ditahan pada 14 Oktober.
- Menteri Penerangan Yaman, Muammar al-Eryani, menuntut siasatan antarabangsa yang telus untuk mengenal pasti punca dan pihak bertanggungjawab.
PBB menerusi kenyataan memaklumkan Mohammad al-Shami, kakitangan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Yaman, ditahan kumpulan Houthi sejak Jun 2024 dan dilaporkan meninggal dunia lebih sebulan lalu sebelum keluarganya dimaklumkan baru-baru ini.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menuntut pihak berkuasa Houthi memberikan penjelasan penuh serta menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian itu.
Beliau turut menggesa pembebasan segera kakitangan PBB lain yang masih ditahan. Pada 14 Oktober lalu, PBB memaklumkan seramai 71 kakitangannya masih berada dalam tahanan kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Penerangan Yaman, Muammar al-Eryani turut menggesa siasatan antarabangsa yang telus bagi mengenal pasti punca kematian mangsa serta pihak yang bertanggungjawab.
Yaman kembali berdepan konflik bersenjata pada Julai lalu selepas tempoh aman selama empat tahun, dengan pertempuran semakin memuncak pada September susulan perkembangan konflik di Asia Barat.-AFP