Kerajaan komited perkasa pendidikan pondok hingga peringkat universiti

Foto RTM

PASIR MAS, 31 Oktober – Kerajaan komited untuk terus memelihara dan memperkasa sistem pendidikan pondok di negara ini bagi memastikan para pelajar institusi itu diberi
peluang melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi termasuk universiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa ulama ditugaskan merumus syor dan mekanisme terbaik bagi memperkasakan sistem pendidikan pondok.
  • Pendekatan berasaskan nasihat ulama menekankan pendalaman teras keagamaan dan penyepaduan pengajian pondok ke peringkat tinggi.
  • Perdana Menteri menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah untuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut penting agar penuntut pondok tidak terpinggir dan mampu bersaing dalam arus pembangunan negara tanpa mengorbankan asas keilmuan Islam.

Beliau berkata beberapa ulama telah ditugaskan untuk merumuskan syor dan mekanisme terbaik kepada kerajaan.

Pendekatan itu diambil berasaskan nasihat para ulama bagi mendalami semula teras keagamaan, di samping menyepadukan sistem pengajian pondok ke dalam peringkat pendidikan tinggi.

“Jangan tinggalkan institusi ini. Sebaliknya, kita perlu membantu pondok-pondok dan sekolah tradisional menggali semula turath agar ilmu yang sebahagiannya diajar di pondok dapat dimanfaatkan dan diberikan ruang untuk berkembang sehingga ke peringkat tertinggi.

“Kita perlu mengikhtiarkan satu jalur baharu, iaitu menambah baik dan menyesuaikan sistem pendidikan pondok supaya dapat diperkasakan sehingga ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas menunaikan solat Maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas.

Dalam ucapan sama, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa institusi pondok memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar pusat penyebaran ilmu agama.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai benteng utama dalam mempertahankan akidah serta memelihara nilai agama, jati diri, dan keharmonian negara.

Sempena kunjungan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan bernilai RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama penduduk tempatan.

Pengerusi Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Prof. Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, sumbangan berkenaan amat membantu pihak pondok dalam memastikan kemudahan dan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Sumbangan seumpama ini amat membantu pihak pondok dalam memastikan urusan penyelenggaraan fasiliti berjalan dengan baik, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada para penghuni.

“Antara keperluan yang dikenal pasti termasuk kerja-kerja pembaikan asrama, penggantian pendawaian elektrik lama serta penyelenggaraan kemudahan lain yang memerlukan perhatian,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.