
TEHRAN, 31 Oktober – Dua nelayan dilaporkan hilang manakala dua lagi cedera selepas dua buah bot nelayan diserang di Selat Hormuz pada Sabtu, dalam satu insiden yang didakwa didalangi oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
- Timbalan Gabenor Hormozgan Ahmad Nafisi mengesahkan kejadian berhampiran Pulau Qeshm sekitar 11:30 pagi waktu tempatan.
- Mangsa yang cedera dipindahkan ke Pulau Qeshm untuk menerima rawatan kecemasan.
- Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan untuk mengesan nelayan hilang dan insiden boleh meningkatkan ketegangan antara Iran dan AS.
Timbalan Gabenor Wilayah Hormozgan Ahmad Nafisi mengesahkan kejadian tersebut berlaku berhampiran Pulau Qeshm kira-kira pukul 11:30 pagi waktu tempatan.
“Serangan oleh pihak musuh AS berlaku ke atas dua bot nelayan yang masing-masing dinaiki oleh dua penduduk tempatan berhampiran Pulau Qeshm,” kata Nafisi menerusi laporan stesen televisyen rasmi Iran.
Beliau menambah, dua mangsa yang cedera berjaya dipindahkan ke Pulau Qeshm bagi menerima rawatan kecemasan.
“Dua lagi nelayan masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan di sekitar kawasan perairan berkenaan bagi mengesan mereka,” jelasnya.
Insiden berdarah di laluan perkapalan tenaga yang strategik itu dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara Iran dan AS di rantau Asia Barat – AFP