Ancaman Houthi meruncing, pakatan Makkah pertimbang penyertaan Syria

Gambar hiasan

MANAMA, 31 Oktober – Syria sedang menilai penyertaan negara itu ke dalam pakatan pertahanan Makkah yang dimeterai oleh Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Houthi meningkat, menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh ditutup selama dua minggu.
  • Pakatan pertahanan Makkah ditandatangani Saudi, Pakistan dan Turkiye dengan klausa perlindungan bersama terhadap serangan.
  • Perancis hantar tentera lindungi terminal minyak Saudi; Britain tempatkan jet pejuang untuk sokong pertahanan Teluk.

Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani, mengesahkan perkara tersebut sewaktu menghadiri persidangan Dialog Manama di Bahrain pada Sabtu.

“Perbincangan dan penilaian teliti kini dijalankan bagi melihat kebolehan Syria menyertai pakatan pertahanan Makkah,” kata Shaibani.

Arab Saudi yang kini bertindak sebagai penyokong utama kerajaan baharu Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, sedang aktif mengumpul sokongan serantau berikutan peningkatan serangan daripada kumpulan Houthi di Yaman.

Serangan terbaharu Houthi bulan ini dilaporkan telah menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh terpaksa ditutup selama dua minggu.

Pada Ogos lalu, Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye telah menandatangani pakatan pertahanan di Makkah berlandaskan klausa perlindungan bersama iaitu sebarang serangan terhadap mana-mana negara anggota akan dianggap sebagai serangan ke atas ketiga-tiga negara berkenaan.

Bagaimanapun, Pakistan dan Turkiye belum membuat sebarang pengumuman mengenai serangan balas terhadap kumpulan Houthi yang didukung oleh Iran.

Perkembangan ini menyusul selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron membuat lawatan mengejut ke Riyadh awal bulan ini dan mengumumkan penghantaran tentera Perancis bagi membantu melindungi terminal minyak utama Arab Saudi daripada ancaman Houthi.

Dalam pada itu, kerajaan Britain turut mengumumkan penempatan jet pejuang tentera udara mereka di Arab Saudi bagi menyokong pertahanan negara Teluk tersebut.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.