
REMBAU, 31 Oktober- Lima institusi politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) berganding bahu memperkasa kemudahan komuniti, memperkenalkan teknologi pertanian pintar dan meningkatkan potensi ekonomi penduduk menerusi Program Kampung Angkat MADANI Kampung Pedas 2026 (KAM PEDAS) di sini.
- Peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan masyarakat melalui penyelesaian praktikal dan pemanfaatan kepakaran institusi.
- Politeknik Port Dickson baiki dan selenggara masjid, bumbung, ruang dalaman, laluan OKU, tempat wuduk serta gelanggang sepak takraw.
- Politeknik Nilai pasang dan uji sistem iREMIX tenaga solar untuk pembajaan tanaman melalui penyelidikan berperuntukan T-ARGS.
- Kolej Komuniti Rembau dan Politeknik Nilai laksana Projek Tanaman Fertigasi Pintar; Masjid Tanah dan Shah Alam tingkatkan landskap dan reka bentuk balai raya.
Kolaborasi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu melibatkan Politeknik Port Dickson, Politeknik Nilai, Kolej Komuniti Rembau, Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Kolej Komuniti Shah Alam.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah berkata kepakaran institusi berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan masyarakat melalui penyelesaian praktikal.
“TVET bukan sekadar melahirkan graduan berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri, tetapi turut berperanan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi program itu, Politeknik Port Dickson melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Masjid Kampung Pedas Tengah, termasuk pembaikan bangunan, bumbung dan ruang dalaman, penyediaan laluan mesra orang kurang upaya (OKU), tempat wuduk serta kemudahan sokongan lain.
Institusi itu turut menyelenggara gelanggang sepak takraw di Taman Pinggiran Pedas bagi menambah baik kemudahan sukan penduduk.
Sementara itu, Politeknik Nilai memasang, menguji dan menentukur dua set sistem iREMIX (IoT Renewable Energy Mix Fertilizer) yang mengintegrasikan tenaga solar dalam sistem pembajaan tanaman. Sistem berkenaan dibangunkan menerusi penyelidikan yang menerima peruntukan Geran TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS).
Kolej Komuniti Rembau dengan kerjasama Politeknik Nilai pula melaksanakan Projek Tanaman Fertigasi Pintar di Balai Raya Kampung Pedas Tengah, dengan penglibatan tenaga pengajar, pelajar Sijil Agroteknologi dan penduduk kampung.
Kolej Komuniti Masjid Tanah menyumbangkan kepakaran dalam pengubahsuaian landskap masjid dan balai raya, manakala Kolej Komuniti Shah Alam menambah baik ruang dalaman balai raya menerusi kepakaran reka bentuk dalaman.
JPPKK berharap inisiatif KAM PEDAS dapat memperkukuh kerjasama antara POLYCC dengan komuniti setempat, selain memastikan kemudahan dan teknologi yang dibangunkan dimanfaatkan secara optimum dan mampan.