DS Fahmi sedia bincang masalah kewangan syarikat media

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 31 Oktober – Syarikat media yang berdepan masalah kewangan dan operasi diminta tampil berbincang dengan Kementerian Komunikasi bagi meneliti bentuk bantuan bersesuaian, sekali gus mengelak lebih ramai pengamal media kehilangan pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan komited membantu kelangsungan industri menerusi Dana Inovasi Media 2.0, dibuka untuk permohonan 1 hingga 14 November.
  • Syarat dana: organisasi media tidak boleh memberhentikan pekerja secara sewenang-wenangnya untuk layak menerima bantuan.
  • Dana merangkumi lima skop termasuk pemanfaatan AI, latihan, dan perolehan peralatan bagi memperkukuh operasi dan teroka pendapatan baharu.
  • Inisiatif tambahan termasuk Projek Sigma 2.0 bersama Google dan kerjasama dengan platform digital seperti TikTok melalui Majlis Media Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan komited membantu kelangsungan industri media menerusi Dana Inovasi Media 2.0 yang dibuka untuk permohonan mulai 1 hingga 14 November ini.

“Antara syarat menerima Dana Inovasi Media ialah organisasi media tidak boleh sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja.

“Jika ada organisasi media yang berdepan masalah operasi atau kewangan, datanglah berbincang dengan kita dan kita akan teliti apa yang boleh dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan anjuran Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini hari ini.

Menurutnya, dana berkenaan merangkumi lima skop, termasuk pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI), latihan dan perolehan peralatan bagi membantu organisasi media memperkukuh operasi serta meneroka sumber pendapatan baharu.

Tambah beliau, pada pelaksanaan edisi pertama, sebanyak 72 syarikat media menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM30 juta untuk pelbagai kemudahan.

Kerajaan berharap lebih banyak organisasi media memohon dana edisi kedua itu, selain memastikan penggunaannya diteliti dari semasa ke semasa agar setiap skop dapat dimanfaatkan secara optimum.

Industri media kini berdepan cabaran susulan peralihan perbelanjaan pengiklanan daripada media arus perdana ke platform media sosial, sekali gus menuntut usaha mencari sumber pendapatan alternatif.

Dalam pada itu, kerajaan turut merancang beberapa inisiatif, termasuk Projek Sigma 2.0 bersama Google serta usaha melalui Majlis Media Malaysia dengan platform digital seperti TikTok bagi membantu organisasi media meneroka peluang pendapatan baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.