16 individu ditahan dalam serbuan mini kasino di Jalan Ampang

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER – Seramai 16 individu ditahan dalam serbuan terhadap kegiatan perjudian mini kasino yang beroperasi di sebuah penthouse di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan melibatkan 14 lelaki, seorang wanita warga China dan seorang lelaki warga Nepal, berusia antara 26 hingga 50 tahun.
  • Kediaman dijadikan mini kasino untuk permainan poker, jemputan melalui kenalan rapat, dikatakan melibatkan warganegara China sahaja.
  • Barang rampasan: meja, tujuh kerusi, kad akses, dua set dadu, kad pengedar, 214 cip bernilai RM5,180, 52 daun terup, wang tunai RM1,000.
  • Kes disiasat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Kanun Keseksaan Seksyen 186 dan Akta Imigresen 1959/63; suspek akan direman.

Ketua Polis Kuala Lumpur CP Datuk Fadil Marsus berkata serbuan menerusi Op Tembok pada 1.50 pagi itu membabitkan 14 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Nepal berusia antara 26 hingga 50 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kediaman tersebut dijadikan lokasi bagi menjalankan perjudian mini kasino jenis permainan poker dan mendapat jemputan daripada kenalan rapat serta melibatkan warganegara China sahaja,” menurut kenyataan beliau hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah meja, tujuh kerusi, sekeping kad akses, dua set dadu, sekeping kad pengedar, 214 cip pelbagai warna bernilai RM5,180, 52 keping daun terup dan wang tunai RM1,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi membendung kegiatan perjudian haram.

“Pihak polis menasihatkan orang awam agar sentiasa menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.