
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Orang ramai digalakkan melaporkan individu atau syarikat yang disyaki tidak mengisytiharkan cukai dengan betul menerusi platform e-Pelarian Cukai yang disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
- LHDN menjamin identiti pelapor isu pelarian cukai akan dirahsiakan dan tidak diumumkan kepada umum.
- Maklumat laporan disimpan oleh LHDN dan tidak didedahkan kepada pihak lain.
- Sepanjang Oktober hampir 300,000 peserta menyertai Bulan HASiL, termasuk 251 siri Jelajah Literasi dan hampir 50,000 tinjauan.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, identiti individu yang menyalurkan maklumat berkaitan isu berkenaan akan dirahsiakan.
“Kita akan sentiasa pastikan maklumat yang kita terima itu akan kita simpan dan kita tidak akan maklumkan kepada umum mana-mana individu yang melaporkan berhubung isu pelarian cukai ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Bulan HASiL 2026, di sini.
Sepanjang Oktober, hampir 300,000 pembayar cukai di seluruh negara menyertai pelbagai program anjuran LHDN menerusi Bulan HASiL 2026.
Antara program dilaksanakan ialah Jelajah Literasi HASiL yang membabitkan 251 siri di seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai isu percukaian kepada masyarakat.
LHDN turut menerima hampir 50,000 penyertaan kaji selidik berkaitan tahap kepuasan terhadap perkhidmatan, keselesaan membayar cukai serta pengetahuan mengenai penggunaan hasil kutipan cukai.