1,099 NADI dimanfaatkan sebagai PUDO

Foto RTM

SHAH ALAM, 31 Oktober – Sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara akan dimanfaatkan sebagai pusat Pick Up Drop Off (PUDO) bagi memperluas akses perkhidmatan kurier, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan perlu diperhalusi supaya pengurus NADI tidak terbeban dan pengurusan PUDO lebih teratur.
  • Kerjasama dengan syarikat kurier digalakkan, tetapi sistem perlu disusun agar memberi kelegaan kepada semua pihak.
  • Kemudahan NADI berpotensi memperkukuh keusahawanan digital, bantu usahawan pedalaman pasarkan produk tempatan lebih luas.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu membolehkan syarikat kurier menggunakan kemudahan NADI sebagai lokasi pengambilan dan penghantaran bungkusan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu diperhalusi bagi memastikan sistem pengurusan lebih teratur dan tidak membebankan pengurus NADI.

“Kita bersetuju untuk menjadikan NADI sebagai salah satu PUDO. Namun, saya menerima keluhan daripada pengurus NADI yang merasa seolah-olah menjadi ejen kepada syarikat kurier akibat bebanan orang ramai yang datang mengambil dan menghantar barang.

“Kita perlu berbincang dan memurnikan semula sistem ini. Mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan NADI sangat dialu-alukan, tetapi sistemnya perlulah teratur agar dapat memberi kelegaan kepada semua pihak,”katanya demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata kemudahan itu berpotensi memperkukuh ekosistem keusahawanan digital, termasuk membantu usahawan di kawasan pedalaman memasarkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.

“Sebagai contoh, NADI di Pekan Karakit, Pulau Banggi, Sabah boleh dimanfaatkan bagi membuka peluang ekonomi digital kepada penduduk setempat.

“Bayangkan jika kita manfaatkan infrastruktur digital dan perkhidmatan kurier di sana; anak-anak muda tidak perlu lagi berhijrah keluar.

“Mereka boleh memanfaatkan ekonomi digital dengan menjual produk tempatan ke seluruh dunia secara terus dari kampung halaman. Inilah yang dipanggil penghijrahan bandar songsang,”ujarnya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.