Festival Permainan Malaysia 2026: JKKN sasar kehadiran 75,000 pengunjung

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Festival Permainan Malaysia 2026 menyasarkan kehadiran 75,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian yang mengetengahkan permainan tradisional serta seni warisan negara di Padang Merbok, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKKN menganjurkan festival dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan permainan tradisional, pameran interaktif dan reruai jualan untuk menarik pengunjung.
  • Program berjalan siang dan malam, termasuk konsert serta persembahan artis popular bagi menambah tarikan acara.
  • JKKN komited memelihara serta mewariskan permainan tradisional; permainan dipertandingkan diiktiraf dalam Daftar Warisan Kebangsaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival itu bagi menarik penyertaan orang ramai, termasuk pertandingan permainan tradisional, pameran interaktif dan reruai jualan.

“Program ini bukan sahaja berlangsung pada waktu siang, malah turut menampilkan konsert dan pelbagai pengisian pada sebelah malam.

“Pengunjung juga berpeluang mengunjungi reruai jualan serta pameran interaktif yang membolehkan mereka mencuba sendiri permainan tradisional yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Festival Permainan Malaysia 2026 di Padang Merbok, di sini.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia (SUTRA) berlangsung dari 29 Oktober hingga esok.

Selain pertandingan 10 permainan tradisional, festival itu turut menampilkan bengkel seni warisan, pertandingan sukan dan rekreasi serta jualan produk tempatan.

Antara tarikan lain ialah persembahan artis popular tanah air termasuk Ella, Kristal X dan Kaka Azraff.

Penganjuran festival itu turut mendapat kerjasama lebih 40 agensi kerajaan dan swasta bagi menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Sementara itu, beliau berkata JKKN komited memastikan permainan tradisional terus dipelihara dan diwarisi, khususnya oleh generasi muda.

Beliau berkata permainan yang dipertandingkan merupakan antara permainan yang telah mendapat pengiktirafan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Katanya, usaha memperkenalkan permainan tradisional secara lebih meluas penting bagi mengembangkan warisan berkenaan sebagai produk kebudayaan yang mampu menarik minat masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.