
TANJUNG BIDARA, 31 Oktober – Barisan Nasional (BN) menyokong Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MUDA dan bebas yang dimeterai baru-baru ini.
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata CSA wajar diperluas kepada parti lain termasuk dari blok kerajaan dan pembangkang.
- Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai perkembangan positif untuk menangani permasalahan rakyat.
- CSA ditandatangani enam wakil BERSATU, seorang wakil MUDA dan enam Ahli Parlimen Bebas.
- Perdana Menteri menyatakan pemeteraian bertujuan memastikan kelangsungan pentadbiran dan pelaksanaan agenda pembangunan termasuk Belanjawan 2027.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjanjian berkenaan wajar diperluas kepada parti lain, termasuk daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Beliau menyifatkan kerjasama itu merupakan perkembangan positif, khususnya dalam usaha menangani permasalahan rakyat.
“Tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau sebaliknya kerana mungkin inilah menjadi hak mereka untuk menyantuni dan menangani masalah rakyat.
“Pada hemat saya, apa yang dilakukan ini adalah satu langkah yang baik dan pernah dilakukan oleh kerajaan ketika wakil UMNO menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sini.
Khamis lalu, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam wakil BERSATU, enam ahli parlimen Bebas dan seorang wakil MUDA.
Enam Ahli Parlimen BERSATU itu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Datuk Ali Biju, Mohd Nazri Abu Hassan dan Datuk Azman Nasrudin.
Turut menandatangani perjanjian berkenaan ialah Ahli Parlimen Muar daripada MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta enam Ahli Parlimen Bebas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemeteraian CSA itu bertujuan memastikan kelangsungan urusan pentadbiran kerajaan serta memberi ruang kepada agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027, dilaksanakan secara berkesan.