
KANGAR, 31 Oktober – Sebanyak 605 pek darah berjaya dikumpulkan menerusi 10 siri penganjuran Program Mai Derma Darah di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), sejak Januari tahun ini.
- Program dilaksanakan secara berkala setiap bulan oleh UMNO Bahagian Kangar, Pergerakan Puteri, Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dan Jabatan Perubatan Transfusi HTF.
- Siri ke-42 berjaya mengumpul 69 pek darah, melepasi sasaran 50 pek yang ditetapkan.
- Setiap pendermaan amat bermakna kerana mampu membantu menyelamatkan nyawa pesakit walaupun penderma tidak mengenali penerima.
Program yang dilaksanakan secara berkala setiap bulan itu merupakan inisiatif UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar, Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dan Jabatan Perubatan Transfusi HTF.
Penyelaras program, Siti Zulaikha Muhamad Zulkefli berkata, program Mai Derma Darah Be A Hero terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penderma tetap dan penderma baharu.
“Inisiatif yang dilaksanakan secara konsisten sejak 2023 itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi membantu memastikan bekalan darah di HTF sentiasa mencukupi mengikut keperluan semasa,” Beliau berkata demikian ketika program Mai Derma Darah Be A Hero Siri ke-42 di Jabatan Perubatan Transfusi HTF, pada Jumaat.
Bagi siri kali ini, sebanyak 69 pek darah berjaya dikumpulkan, sekali gus melepasi sasaran 50 pek darah yang ditetapkan bagi setiap penganjuran.
Siti Zulaikha berkata, setiap pendermaan darah amat bermakna kerana mampu membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan, walaupun penderma tidak mengenali penerimanya.