PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka akan mengaktifkan bilik gerakan khas selama 24 jam bermula Sabtu bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bilik gerakan SPRM Melaka akan beroperasi hingga 14 November untuk menerima maklumat dan aduan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang PRN.
  • Orang ramai boleh melapor melalui e-mel prnmlk@sprm.gov.my, pejabat SPRM Melaka 06-289 6000, talian bilik gerakan 06-289 6303 atau WhatsApp 011-2679 1569.
  • SPRM mengingatkan calon, parti dan penyokong agar mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya demi PRN bersih, telus dan bebas rasuah.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi hingga 14 November depan bagi memastikan orang ramai mempunyai saluran untuk melaporkan sebarang perlakuan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sepanjang tempoh pilihan raya.

“Inisiatif itu bertujuan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sepanjang proses pilihan raya.

“Selain hadir ke bilik gerakan, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau membuat aduan menerusi e-mel prnmlk@sprm.gov.my atau menghubungi talian pejabat SPRM Melaka di 06-289 6000,” menurut kenyataan itu.

Aduan juga boleh disalurkan terus menerusi talian bilik gerakan di 06-289 6303 serta talian 24 jam atau WhatsApp di 011-2679 1569.

SPRM turut mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong dan mana-mana pihak yang terlibat dalam PRN Melaka ke-16 supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang serta peraturan pilihan raya.

“Peringatan itu selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” tambah kenyataan itu.

SPRM berharap kerjasama orang ramai dapat membantu memastikan proses PRN Melaka Ke-16 berlangsung dengan bersih, telus dan bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.