
PUCHONG, 30 Oktober – Persiapan menghadapi banjir perlu dilaksanakan di semua kawasan termasuk lokasi yang tidak pernah atau jarang dilanda banjir.
- Persiapan banjir perlu dilaksanakan di semua kawasan termasuk yang jarang atau tidak pernah dilanda.
- Jangan lakukan pembelian panik; beli makanan dan minuman mengikut keperluan.
- Semua agensi berkaitan mesti memastikan tindakan awal dan kesiapsiagaan operasi menyelamat.
- Simpan dokumen dan barangan penting di tempat tinggi; sediakan ahli keluarga terdedah; lakukan pemindahan awal bila amaran cuaca.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kawasan yang tidak pernah dilanda banjir lebih membimbangkan kerana penduduk dan agensi setempat mungkin kurang bersedia sekiranya kejadian berlaku di luar jangkaan.
“Sebagai contoh, Taman Sri Muda yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir, akhirnya turut dilanda bencana berkenaan. Kejadian seperti ini menunjukkan banjir boleh berlaku di kawasan yang tidak dijangka, antara lain disebabkan faktor perubahan iklim.
“Sehubungan dengan itu, kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang biasa dilanda banjir, sebaliknya semua kawasan perlu membuat persiapan kerana risiko banjir boleh berlaku di luar jangkaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media : Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL tahun 2026 di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik bagi menghadapi MTL.
“Untuk rakyat, kita insya-Allah beli makanan dan minuman mengikut keperluan. Tak perlu buat pembelian panik. Buat persiapan biasa dan beli sekadar yang perlu,” katanya lagi.
Semua agensi berkaitan tidak mengambil mudah persiapan di kawasan berkenaan dan memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.
Orang ramai turut dinasihatkan menyimpan dokumen serta barangan penting di tempat lebih tinggi, selain membuat persediaan awal bagi ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan wanita hamil.
Pemindahan awal juga wajar dilakukan sekiranya terdapat amaran cuaca yang menunjukkan risiko banjir bagi mengelakkan kesukaran operasi menyelamat apabila kawasan mula dinaiki air.