
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Pendidikan kewangan tidak seharusnya terhad kepada pengetahuan dan pemahaman konsep semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan serta tabiat pengurusan kewangan yang baik dalam kehidupan seharian.
- Utamakan pembentukan tabiat kewangan: simpan secara konsisten, urus pinjaman berhemah dan fahami risiko sebelum melabur.
- Galakkan generasi muda merebut peluang geopolitik dan teknologi sambil membina daya tahan kewangan untuk diri dan masyarakat.
- Levela oleh Prudence Foundation menyediakan pendidikan kewangan interaktif percuma: simpanan kecemasan, pengurusan kredit, insurans, perancangan, pencegahan penipuan digital.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, langkah itu perlu memberi fokus kepada pembentukan amalan seperti menyimpan wang secara konsisten, mengurus pinjaman dengan berhemah serta memahami risiko sebelum membuat pelaburan.
“Kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia yang celik kewangan dan mendapat pendidikan kewangan. Kita sedang berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kita berada adi kedudukan geografi dan geopolitik Malaysia yang strategik, khususnya di antara kuasa-kuasa besar dunia. Jadi, terdapat banyak peluang.
“Saya berharap golongan muda dapat merebut peluang tersebut, namun pada masa sama membina daya tahan kewangan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat,” katanya ketika memberi ucapan pada Majlis Perasmian Levela di sini, hari ini.
Keputusan kewangan yang dibuat setiap individu turut mempengaruhi keupayaan mereka merancang masa depan dan meningkatkan kesejahteraan kewangan.
Menerusi program itu, Prudential Malaysia melancarkan platform pendidikan kewangan percuma ‘Levela’ sebagai usaha memperkukuh meningkatkan literasi dan keterangkuman kewangan dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.
Platform yang dibangunkan Prudence Foundation itu menyediakan pembelajaran interaktif merangkumi enam bidang utama, termasuk penyediaan kewangan dan pengurusan aliran tunai.
Selain itu, ia turut meliputi simpanan dan dana kecemasan, pengurusan kredit dan hutang, insurans dan takaful, perancangan kewangan serta pencegahan penipuan digital.