
PUTRAJAYA, 29 Oktober – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 64 warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian (online scam) dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Lembah Klang.
- Penyediaan pasport palsu dikesan sebagai persediaan melarikan diri sekiranya kegiatan sindiket terbongkar.
- Tangkapan melibatkan warga China, Vietnam dan Myanmar; serbuan di kondominium mewah Jalan Kerinchi dan dua banglo di The Mines.
- Modus operandi: memasuki Malaysia secara sah melalui Kemboja, bertukar lokasi kerap dan kumpulan melakukan pusingan kerja bergilir.
- Sindiket menyasarkan mangsa melalui Telegram, menggunakan e-wallet luar negara; rampasan termasuk komputer riba, telefon, buku transaksi dan wang tunai RM51,300.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket itu turut mengesan penyediaan pasport yang disyaki palsu bagi tujuan melarikan diri jika kegiatan mereka terbongkar.
“Kita dapati mereka sudah pun bersedia untuk melarikan diri sekiranya berlaku ataupun apa-apa yang boleh menimbulkan mungkin yang membahayakan mereka”
“Sekiranya mereka dapat mengetahui sekiranya ada serbuan dan sebagainya, mereka sudah pun bersedia dengan pasport-pasport negara lain yang kita syaki setakat ini ialah pasport palsulah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM di sini, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan tangkapan melibatkan 44 warga China, 19 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar, manakala serbuan dijalankan di empat unit kondominium mewah di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, serta dua banglo di The Mines, Seri Kembangan, dalam operasi selama dua hari (28-29 Ogos).
Mengulas modus operandi sindiket, Zakaria berkata, sebahagian besar suspek memasuki Malaysia secara sah melalui Kemboja menggunakan pasport tulen sebagai pelancong sebelum menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
“Kita mengesyaki bahawa mereka berubah-ubah lokasi daripada satu negara ke satu negara dan kumpulan mereka melakukan pusingan kerja”
“Mereka akan bertapak di satu negara bagi satu tempoh tertentu kemudian bertukar dengan kumpulan yang baru,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan sindiket berkenaan dipercayai memilih kediaman dengan kawalan keselamatan tinggi dan pergerakan ahli dikawal. Bekalan makanan juga dihantar secara berkala dan kemudahan hiburan disediakan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.
Siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu menyasarkan mangsa di negara asal masing-masing menerusi aplikasi Telegram, dengan keuntungan dianggarkan mencecah RM6 juta, manakala rekod transaksi pada hari serbuan melebihi RM60,000.
Transaksi penipuan dipercayai menggunakan akaun dompet elektronik (e-wallet) yang didaftarkan di luar negara, dengan akses internet menggunakan perkhidmatan tempatan.
Dalam operasi itu, JIM merampas komputer riba, telefon bimbit, buku rekod transaksi serta wang tunai RM51,300.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kesemua warga asing tersebut mempunyai rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.