Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai RM160,000

Foto Maritim Malaysia Zon Tawau

TAWAU, 29 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau merampas 200,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM160,000 dalam satu operasi di perairan Kampung Titingan, Tawau, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot peronda Maritim mengesan sebuah bot laju mencurigakan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau semasa Op Sejahtera dan Op Khas.
  • Tekong memecut ke kawasan cetek apabila diarahkan berhenti; enjin rosak, tekong terjun ke laut dan melarikan diri, meninggalkan bot serta muatan.
  • Maritim membawa barang rampasan ke jeti Ibu Pejabat Zon Tawau dan menyerahkannya kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut; nilai keseluruhan RM190,000.
  • Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967; Maritim mempergiat operasi. Maklumat hubungi Pusat Operasi Zon Tawau 089-752116 atau 999.

Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, rampasan itu dibuat selepas bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot laju dalam keadaan bergelap yang mencurigakan, dipercayai memasuki perairan negara dari negara jiran.

Beliau berkata, anggota Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau ketika melaksanakan Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris.

“Tekong bot bertindak memecut ke kawasan cetek selepas menerima arahan berhenti untuk pemeriksaan bagi mengelakkan dirinya daripada ditahan.

“Bagaimanapun, kerosakan enjin menyebabkan tekong berkenaan terjun ke laut dan melarikan diri, meninggalkan bot bersama muatannya. Keadaan gelap dan perairan cetek menyukarkan usaha mengesan suspek”, katanya menerusi kenyataan.

Ariffin berkata nilai keseluruhan rampasan bersama bot dan enjin berjumlah RM190,000.

“Maritim Malaysia membawa semua barang rampasan ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau sebelum menyerahkannya kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut”, katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Maritim Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk mempergiat operasi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah di perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Tawau menerusi talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.